Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbrückner meluahkan rasa kecewa terhadap beberapa pemainnya setelah tewas kepada Kuala Lumpur City pada aksi separuh akhir Piala FA di laman sendiri pada semalam.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Tomi kecewa kerana ada beberapa pemain yang enggan mengambil sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar permainan dan juga ketika masa tambahan.

“Saya sendiri minta Jordan Mintah tapi dia kata tidak. Saya minta Faiz Nasir untuk mengambil, dia kata tak mahu. Saya minta Hakimi kerana beliau mempunyai kaki kiri yang bagus, tetapi dia tak nak. Awak beritahu saya sebabnya,” kata Tomislav Steinbrückner.

Giancarlo Gallifuoco menjadi wira bagi Kuala Lumpur City dimana beliau berjaya menyempurnakan sepakan penalti kemenangan bagi KL City selepas Liridon Krasniqi gagal menyempurnakan sepakan bagi Terengganu.

Selepas perlawanan, Liridon menerima kecaman hebat dari peminat yang menganggap sepakan penalti beliau terlalu perlahan yang mana mudah diselamatkan oleh penjaga gol lawan iaitu Azim Al-Amin.

KL City akan turun menentang sama ada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) atau seteru Lembah Klang, Selangor di perlawanan akhir yang mana kedua-dua pasukan akan berentap pada aksi separuh akhir hari ini.